Facebook Flickr RSS
Tema GreenLime Blue Red
Ubah saiz Teks: smaller text sizereset your textplus your text size

Memancing Hati Anak Remaja | Ragam Kereta | 100 Panduan Amalan Baik Pendidikan Awal Kanak Kanak | Buat Duit Dengan Foto | Komunikasi Untuk Pembangunan Sumber Manusia

Print This Page

Tajuk : Cara Mudah Mengendalikan Majlis Rasmi & Aktiviti Riadah Syarikat Perusahaan Ikan Patin
Penulis : Amin Hazyq
Penerbit : Perintis Book Sdn Bhd
Pengulas : Anisah Abdullah

Perusahaan ternakan patin besar merupakan sebuah buku panduan lengkap dalam penyediaan kolam, pembenihan, pembiakan, pembesaran, penjagaan dan analisis usaha perusahaan penternakan patin besar.

Buku ini mengandungi sebelas bab kesemuanya.
Bab 1 – Pengenalan Ikan Patin Daging Putih Yang Enak
Bab 2 – Prospek Ternakan
Bab 3 – Mengenal Patin Besar
Bab 4 – Ciri-ciri Lokasi Ternakan
Bab 5 – Jenis-jenis Media Pemeliharaan
Bab 6 – Teknik Pembenihan Patin Besar
Bab 7 – Pembiakan Benih Secara Intensif
Bab 8 – Teknik Penternakan
Bab 9 – Pengangkutan Benih dan Ikan untuk Penjualan
Bab 10 – Pengelolaan Kesihatan
Bab 11 – Analisis Usaha

Selama ini, pasaran spesies ikan patin di Malaysia didominasi oleh jenis patin Siam. Sayangnya ikan yang mendapat jolokan ala Bangkok ini kurang laku di pasaran eksport kerana isinya yang berwarna merah sementara para pengimport lebih menyukai patin yang berisi putih. Melihat kepada keadaan tersebut, para penyelidik di Malaysia telah melakukan kajian dan penyelidikan terperinci sehingga melahirkan spesies patin besar. Keunggulan ikan ini ialah isinya yang berwarna putih, kadar lemak yang rendah, pertumbuhan yang cepat dan kuantiti telurnya yang lebih banyak.

Ikan patin merupakan ikan air tawar yang popular di kalangan penggemar menu masakan ikan air tawar. Ini adalah kerana patin memiliki rasa yang enak. Di samping itu, ikan ini mampu bertahan untuk hidup di perairan yang kurang baik dan teknologi ternakannya mudah dikuasai. Disebabkan inilah patin menjadi tarikan dan pilihan untuk diternak secara komersial.

Kedua-dua ikan patin besar ini merupakan jenis patin tempatan dan memiliki warna daging yang putih serta mempunyai ukuran yang agak besar. Memang sudah diketahui bahawa jenis patin ini gemar dieksport ke Eropah dan Amerika Syarikat. Pengimpot lebih menyukai isi ikan patin yang putih. Antara Negara yang banyak mengeksport patin berdaging putih adalah Vietnam dan Taiwan. Malaysia masih tidak mampu memenuhi kuota eksport apalagi untuk pemasaran patin berdaging putih yang berterusan.

Di Malaysia, para penternak telah mencuba dengan pelbagai cara untuk menghasilkan baka patin yang baik. Hasil kajian daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa penternak yang berpengalaman, ternakan patin di dalam sangkar di Temerloh, Pahang menunjukkan bahawa warna daging patin Siam boleh berubah menjadi putih, sekiranya ia dipelihara di dalam sungai. Namun tidak semua penternak menternak patin di sungai.

Setelah kejayaan ternakan patin sangkar pada tahun 2006, Jabatan Perikanan memperkenalkan jenis ikan patin ‘Mas’ atau patin Super Harapan Pertiwi. Patin mas adalah hasil kacukan patin Siam betina dan patin sangkar jantan.

Ternakan ikan patin besar menjanjikan keuntungan yang besar baik dari pasaran tempatan mahupun eksport. Faktor utama adalah dagingnya yang enak dan memiliki kandungan protein yang tinggi. Pemilihan lokasi ternakan yang sesuai berdasarkan kemudahan pemasaran. Ternakan patin besar boleh dijalankan di pelbagai lokasi dan media ternakan air tawar seperti di dalam kolam, sangkar, jaring apung dan kantung jaring apung serta kualiti air perlu memenuhi beberapa syarat kerana air yang kurang baik akan menyebabkan ikan mudah diserang penyakit.

Hingga hari ini, pembenihan ikan patin yang berskala besar masih jarang ditemui. Oleh itu, untuk mengoptimumkan kegiatan pembenihan ikan supaya kesinambungan ketersediaan bekalan benih ikan terjamin, maka pertimbangan secara teknikal dan bukan teknikal perlu difikirkan secara lebih serius. Umumnya, pembiakan patin besar dilakukan secara intensif sama ada di ruang tertutup atau terbuka. Di ruang tertutup, ia boleh dilakukan di dalam ruang khas dengan menggunakan akuarium, bekas plastik atau bekas kaca gentian.

Penternakan merupakan kegiatan atau usaha pemeliharaan benih hasil proses pembiakan sehingga mencapai satu ukuran kepenggunaan yang ideal. Pembinaan kolam pemeliharaan patin besar boleh terdiri daripada kolam tanah, kolam tembok dengan dasarnya tanah.

Pengangkutan merupakan nadi penghubung kepada kegiatan pembenihan, pembiakan dan penternakan yang biasanya berlaku di lokasi berbeza. Untuk memastikan agar pemindahan atau pengangkutan ikan dalam keadaan hidup berlaku dengan sempurna, maka perlunya penanganan khusus. Pengelolaan atau pengurusan kesihatan ikan patin besar bermula dengan penanganan dan pencegahan tekanan. Pengurusan tekanan menjadi keutamaan di dalam perusahaan ikan patin besar yang diusahakan secara intensif kerana tekanan boleh menurunkan daya ketahanan badan ikan. Akibatnya. Pathogen pembawa penyakit akan lebih mudah menyerang dan menjangkiti ikan dan seterusnya menyebabkan penyakit kepada ikan-ikan tersebut. Pengiraan analisis perlu dilakukan bagi sesebuah perusahaan ternakan ikan patin besar kerana dapat memberi gambaran kasar mengenai keuntungan yang bakal diperolehi dari usaha yang dijalankan.

Akhir buku ini juga dilampirkan resepi-resepi masakan ikan patin besar seperti masakan murtabak patin, pastel kembang patin dan lain-lain lagi. Penulis berharap buku ini akan memberi manfaat dan panduan lengkap kepada penternak dan bakal-bakal penternak mengembangkan usaha ternakan ikan patin besar.

Sila lawati katalog online Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini. Oleh kerana buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan.