Cara Mudah Mengenalpasti Kesalahan Lazim Bahasa Melayu | Buat Duit Dengan Affiliate | Kerjaya Sebagai Pengurus Kewangan | Pengurusan Modal Insan | Anda Berkuasa Apabila..? | Kunci Menuju Kejayaan Hidup | Karenah Organisasi Mengagumi Pekerja Faktor Produktiviti | Menguasai Kemahiran Fotografi Digital | Belajar Melalui Bermain | Mencandat Sotong | Pelajar Bertanya,Prof.Muhaya Menjawap | Pengucapan Awam : Strategi Dan Kemahiran

Print This Page

Tajuk : Komuniti Pembangunan & Transformasi Komuniti Pembangunan & Transformasi
Penyunting : Yahaya Ibrahim
Penerbit : Universiti Kebangsaan Malaysia
Pengulas : Dr. Gaim James Lunkapis
Program Geografi, Sekolah Sains Sosial
Universiti Malaysia Sabah

Buku bertajuk Komuniti Pembangunan dan Transformasi mengupas skop pembangunan dan masyarakat hasil sumbangan dari beberapa orang penulis Malaysia dari sudut pandang yang lebih bersifat akademik. Buku ini amat sesuai untuk pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi, ibu bapa, guru dan pelajar di peringkat sekolah menengah.

Buku ini mengandungi 4 bahagian yang disampaikan dalam 15 bab seperti berikut: • Komuniti Pembangunan dan Transformasi
• Mobiliti Komuniti Tani
• Ketersampaian Saham Amanah Dalam Kalangan Komuniti Tani
• Transformasi Sosial 'Jutawan Segera' Komuniti FELDA
• Pembangunan dan Impak Demografi Keatas Komuniti Jakun
• Kesan Awal Pembinaan Projek Hidro Elektrik Bakun
• Perbandaran dan Perubahan Rumah-rumah Kediaman Komuniti Desa di Pinggir Metropolitan
• Kualiti Hidup Komuniti Bandar
• Perbandaran dan Penempatan Semula Komuniti Orang Asli
• Persetingganan Bandar dan Program Penempatan Semula
• Keberkesanan Latihan terhadap Komuniti Miskin Bandar
• Isu dan Cabaran Komuniti penjajah di Kuala Lumpur
• Ke Arah pembentukan Komuniti Lestari
• Pembangunan E-Komuniti dan Pembentukan Masyarakat Bermaklumat

Buku ini membicarakan pelbagai aspek berkaitan dengan komuniti, pembangunan dan transformasi. Perbincangannya meliputi pelbagai sudut daripada definisi, teori, aplikasi, impak, isu, cabaran dan peranan pihak yang terlibat dalam komuniti, pembangunan dan transformasi.

Komuniti dan pembangunan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Pembangunan yang dibawa akan membawa perubahan sama ada ke arah kebaikan ataupun sebaliknya kepada sesebuah komuniti. Pembangunan yang membawa perubahan positif kadangkala memberikan implikasi sebaliknya kerana ketidaktepatan perancangan ataupun kurangnya persediaan komuniti tempatan dalam proses mengadaptasi perubahan akibat daripada pembangunan.

Komuniti itu merujuk kepada beberapa elemen penting, iaitu manusia, ruang tempat tinggal, interaksi sosial, semangat kerjasama dan identifikasi kolektif. Pembangunan adalah sesuatu yang subjektif. Pelbagai pihak melihat pembangunan mengikut tafsiran dalam konteksnya sendiri berasaskan latar belakang, matlamat atau tujuannya serta kaedah penilaian yang mereka gunakan. Perkembangan idea tentang pembangunan sebagai suatu proses transformasi masyarakat secara progresif mula diberi tumpuan dalam beberapa penulisan tokoh sains sosial abad ke-21.
Transformasi memperjelaskan perubahan yang berlaku dari suatu keadaan ke suatu keadaan yang baru. Proses transformasi adalah penonjolan daripada perubahan manusia dan persekitaran fizikal serta sosiobudaya; iaitu perubahan bercorak kuantiti dan kualiti dalam kehidupan. Gabungan perubahan sosial, budaya, politik dan ekonomi dianggap sebagai satu fenomena berorientasikan matlamat dan nilai serta tertumpu kepada pencapaian kesejahteraan manusia yang optimum dalam semua bidang.

Terdapat beberapa perkara menarik ditonjolkan dalam buku ini khususnya berkaitan dengan masyarakat Orang Asli dan pembangunan komuniti lestari. Selain itu, pengalaman 'jutawan segera' komuniti FELDA memberi kupasan dari pelbagai sudut yang boleh menjadi panduan dan sempadan. Kesan projek mega seperti Empangan Bakun ke atas komuniti tempatan turut dikupas dan dianalisis dari sudut pandang sosio ekonomi dan kesan ke atas institusi kekeluargaan.
Permasalahan dan dinamika komuniti bandar turut dikupas dari sudut teori dan diulas melalui beberapa contoh yang menarik khususnya dari Bab 9 hingga 13. Antara lain termasuklah perbahasan dan contoh-contoh mengenai kualiti hidup komuniti bandar, persetingganan bandar, komuniti miskin bandar dan komuniti penjaja di bandar.
Akhir sekali buku ini membawa pembaca melihat masa hadapan bandar khususnya yang berkaitan dengan pembentukan komuniti lestari bandar dan masyarakat yang berilmu. Secara teorinya, kedudukan fizikal sesebuah komuniti tersebut tidak semestinya berada di kawasan bandar tetapi akses kepada ameniti sosial dan perkhidmatan adalah sama atau mungkin lebih baik dari sesetengah komuniti yang secara fizikalnya terletak di kawasan bandar.

Buku ini sangat berguna dan banyak memberi manfaat terutama kepada mahasiswa, ibu bapa dan guru yang inginkan sesi pembelajaran menjadi lebih efektif, efisien dan menyeronokkan. Banyak panduan-panduan yang boleh diguna pakai untuk kecemerlangan proses pembelajaran yang seharusnya berlaku sepanjang hayat, khususnya yang berkait rapat dengan komuniti, pembangunan dan transformasi.

Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi kami di talian 088-231623 sambungan 209 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.